Saturday, 25 May 2013

Rasulullah s.a.w. Seorang Pakar Perubatan






Sesungguhnya pengutusan Rasulullah s.a.w. membawa pelbagai rahmat kepada alam. Oleh kerana itu, antara hikmah pengutusan baginda kepada manusia adalah sebagai pakar perubatan samada spiritual, akal dan fizikal manusia. Ironinya, sesuatu pensyariatan yang diwahyukan kepada Baginda s.a.w. merupakan penawar untuk mengubati dan mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Islam.

Dalam karangan ilmu warisan dan kesarjanaan ulama silam, banyak kitab-kitab yang membincangkan tentang perubatan mengikut acuan Islam. Banyak daripada tokoh-tokoh ilmuan dikalangan para ulama silam yang mengemukakan pelbagai teori dan praktik dalam sistem perubatan Islam seperti Harith ibn Khaladah, Ibn Sina, al-Zahrawi, al-Razi, Ibn al-Matran, Ibn Jumay dan lain-lain.

Antara contoh kitab yang boleh kita perhalusi yang pernah dikaryakan oleh ulama masyhur sehingga kini adalah kitab “Perubatan Nabi الطب النبوي” daripada Imam Syamsuddin Muhammad bin Abi Bakar Abi Qayyim al-Jauziyyah (691H) masyhur dengan nama Ibn Qayyim al-Jauzi. Dalam kitab tersebut, beliau merangkumkan pelbagai hadis-hadis daripada Nabi s.a.w. tentang persoalan dan perawatan sesuatu penyakit.

ILMU PERUBATAN sebagaimana yang dijelaskan oleh ibn Qayyim :

حفظ الصحة والحمية عن المؤذى والإستفراغ من المواد الفاسدة

“Penjagaan kesihatan, pelindungan daripada penyakit, pembuangan daripada perkara-perkara yang membinasakan”. [1]

Dalam pendahuluan kitab tersebut, beliau ada menyatakan : “Inilah beberapa fasal/ceraian panduan daripada Nabi s.a.w. dalam ilmu perubatan untuk dipelajari. Ia menjelaskan kepada manusia awam dan penerangan tentang hikmah-hikmah terhadap kelemahan akal untuk mengetahui dan memahami hakikat sesuatu penyakit tersebut”.[2]

Sebenarnya, pengarang (ibn Qayyim) cuba menjelaskan tentang teknik dan teori perubatan yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. Ianya bertujuan menuntun hati-hati manusia agar lebih dekat dengan Pencipta-Nya. Inilah bimbingan wahyu dan panduan Rasulullah s.a.w. dalam proses perawatan dan perubatan mengikut acuan Islam.

Anggota tubuh manusia akan menjadi lemah sekiranya tidak dijaga dengan baik. Apabila tubuh badan tidak melaksanakan kewajipan dan tugasan hariannya atau menggunakannya melampaui batasan kemampuan anggota badan maka senanglah bagi kuman dan apa-apa pnyakit menghinggapinya. Ianya boleh dikaji, dianalisa, dan dibuat penelitian bagi mereka yang menceburi khusus tentang ilmu perubatan.

Begitu juga penyakit dalaman (spiritual) seseorang juga akan diserang pelbagai penyakit akibat terkesan dengan unsur-unsur luar dan suasana kehidupan sekeliling mereka. Kesannya pada seseorang itu kita akan dapati seperti apa yang diceritakan oleh Nabi s.a.w iaitu wujudnya ketakutan, keraguan, kebimbangan, fobia, tekanan, stress, mudah marah dan lain-lain. Ini semua adalah penyakit yang menimpa hati-hati seseorang apabila suasana sekeliling tidak sesuai dengan naluri, kebebasan hidup ditekan dan tidak meraikan fitrah semulajadi mereka.


HAKIKAT PENYAKIT

Dalam kitab tersebut pengarang (ibn Qayyim) ada menyatakan, penyakit yang menimpa seseorang individu adalah daripada kelemahan spiritual dan fizikal mereka. Maka, sebarang penyakit boleh diubati  dan mestilah mengikut jaluran yang telah diletakkan panduannya oleh baginda Nabi s.a.w. dengan meraikan pandangan dan pendapat ulama tentang keseragaman antara perubatan dan fiqh. Maka fiqh perubatan itu amat penting kerana ianya berkait-rapat sesuatu penyakit dan penawar dengan keyakinan dan kefahaman kita dalam persoalan fiqh agar penyakit yang diturunkan oleh Allah taala maka tempat bergantung penawarnya juga adalah daripada Allah taala.

Nabi s.a.w. juga pernah memnyarankan kepada mana-mana dikalangan sahabatnya untuk mencarikan doktor untuk merawat penyakit.

أن رسول الله (ص) قال لهما : أيكما أطب؟ فقالا : أو في الطب خير يا رسول الله؟ فقال : أنزل الدواء الذي أنزل الداء

“Mana satu antara kamu berdua yang lebih baik perawatannya? Maka kedua-dua sahabat tadi bertanya kepada Rasulullah : Dalam perubatan itu ada kebaikankah wahai Rasulullah? Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda : Telah diturunkan penyakit yang diturunkannya juga ubat (perawatannya)”. (Hadis Riwayat Imam Malik bin Anas)

Dalam hadis lain daripada Amru bin Syuaib, daripada ayahnya, daripada datuknya telah berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

من تطبب ولم يعلم منه الطب قبل ذلك فهو ضامن

“Sesiapa yang berubat tanpa mengetahui disisinya sesuatu ilmu perubatan maka dirinya sebagai jaminan (bertanggungjawab atas kesan dna risiko yang bakal dihadapi”.  (Hadis Riwayat Imam Abu Daud, Nasaie dan Ibn Majah)

Dalam hadis-hadis diatas, ia mengandungi tiga perkara penting untuk disingkapi. Antaranya tentang etimologi, fiqh dan perubatan.

- Dari sudut etimologi : kalimah الطب ianya dibaca dengan baris bawah yang membawa kepada beberapa maksud dalam sandaran Bahasa Arab :

1. Pembaikan الإصلاح 
2. Kemahiran الحذق
3. Kebiasaan العادة
4. Mempersona السحر

- Dari sudut Fiqh : Sesiapa yang berubat dan mencari penawar tanpa memiliki kemahiran dan pengetahuan tentang bidang perubatan maka dia sebenarnya sedang berhadapan dengan nyawanya sebagai tebusan. Maka jumhur ulama menyatakan haram sekiranya sengaja mencampakkan dirinya kedalam kebinasaan kerana stiap penyakit yang diturunkan Allah pasti ada penawarnya.

Oleh itu, berubat dan berusaha mencari doktor untuk mengelakkan sesuatu bencana yang akan membinasakan diri sendiri merupakan amalan yang syar’ie.

- Dari sudut Perubatan : Ia menunjukkan tentang galakan dan gesaan Nabi s.a.w. untuk menceburi bidang perubatan dan sentiasa mencari jalan untuk mengelakkan kemudaratan. Ianya termasuk dalam konteks fardhu kifayah.

Maka, perubahan zaman memerlukan kepada teori dan proses perubahan yang lebih baik dengan alatan-alatan dan kajian moden, maka tidak salah sekiranya perubahan-perubahan cara perubatan mengikut teknologi terkini  digunakan. Bahkan, bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ijazah kedoktoran daripada mana-mana university dan medan pengajian merupakan satu kewajipan kifayah kepada seluruh umat Islam.

Oleh itu, wujudnya satu entiti dan kesatuan kedoktoran dibawah satu Kementerian Kesihatan  Negeri atau seumpamanya merupakan langkah baik bagi menghimpunkan pelbagai persoalan, masalah dan tindakan tentang perubatan moden yang sekaligus mampu menjadi tempat rujuk apabila tertimpanya sesuatu musibah penyakit.


PANDUAN DAN PEDOMAN DARIPADA PERUBATAN SERTA PERAWATAN CARA RASULULLAH S.A.W. MENGIKUT PANDANGAN DR. SABIR ABDUL DAIM YUNUS[3]

Hadis-hadis daripada baginda s.a.w. tentang perubatan dan perawatan bukan hanya sekitar satu medan perbahasan ilmu perubatan semata, tetapi baginda s.a.w. menyatakannya dalam beberapa aspek asas yang lain iaitu :

1. Presentifiologi (Pencegahan)  الطب الوقائي
2. Terapeutikologi (Perawatan) الطب العلاجي 
3. Psikoterapi (Spiritual)   الطب النفسي


1. PRESENTIFIOLOGI   الطب الوقائي
(Perubatan Cara Pencegahan)

Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya berdasarkan wahyu Ilahi tentang penjagaan diri walaupun sekecil-kecil perkara agar manusia hidup dalam keadaan sihat sejahtera dan terhindar daripada sesuatu musibah.
Antaranya adalah konsep bersuci yang diajarkan oleh baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w. ada bersabda :

الطهر شطر الإيمان

Bersuci itu sebahagian daripada iman”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Bersuci antara ibadah paling asas dan  paling mudah untuk dilaksanakan bahkan ianya sebagai rangkuman daripada ibadah-ibadah besar yang lain. Sekiranya kaedah bersuci tidak dilaksanakan maka tidak akan sah dan diterima beberapa amalan lain yang lebih besar kedudukannya disisi Allah seperti ibadah solat yang memerlukan kepada berwudhu’ terlebih dahulu.

Nabi s.a.w. pernah bersabda :

لو أن نهرا بباب أحدكم يغتسل فيه خمس مرات كل يوم هل يبقى من درنه شيء؟  فقالوا : لا يبقى من درنه شيء. قال (ص) : فذلك مثل الصلوات الخمس يمحوا الله بهن الخطايا

“Sekiranya sebatang sungai ada dihadapan pintu salah seorang daripada kamu lalu dia mandi sebanyak lima kali setiap hari, adakah akan tertinggal lagi kekotoran walaupun satu? Maka mereka (para sahabat) berkata : Tidak akan kekal kekotoran walaupun satu. Lalu baginda s.a.w. berkata : Begitulah perumpamaan dolat lima waktu. Allah akan membuang dengan menunaikannya segala kekotoran”. (Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

Baginda s.a.w. juga ada menyarankan kepada umatnya agar tidak makan dan minum daripada tiga keadaan kerana ia boleh membawa kepada wabak dan penyakit. Sabda Nabi s.a.w. :

اتقوا الملاعن الثلاث : البراز في الموارد وقارعة الطريق والظل

“Berjagalah kamu daripada tiga : Sumber takungan air (yang dibuang najis padanya), laluan pejalan kaki dan bawah teduhan”. (Hadis Riwayat Sunan Abi Daud)

Dalam hadis lain menyatakan :

غطوا الإناء وأكنوا السقاء وأغلقوا الباب واطفؤا السراج فإن الشيطان لا يحل سقاء ولا يفتح بابا ولا يكشف إناء

"Tutuplah bekas (makanan), ikatlah mulut girbah, tutuplah pintu, matikan lampu, sesungguhnya syaitan tidak akan mampu melepaskan ikatan girbah, tidak mampu membuka pintu dan tidak boleh menyelongkar bekas (yang telah tertutup)". (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Antara saranan baginda s.a.w. lagi agar menjaga kesihatan anggota badan dan mengelakkan diri daripada dijangkiti boleh dilihat dalam beberapa contoh lain. Antaranya :

1. Larangan daripada meminum arak (hukumya haram kerana boleh merosakkan akal).
2. Tegahan daripada makan dan minum terlalu banyak (kerana boleh mlmahkan tubuh badan).
3. Galakan untuk sentiasa bersenam (membawa kepada kecergasan anggota dan minda).
4. Kuarantin dan tahan daripada keluar ke tempat awam bagi seseorang yang ditimpa penyakit yang agak risiko dan bahaya kepada orang lain (seperti taun, campak dan lain-lain).
5. Sentiasa menunaikan syariat agama dan ibadah yang difardhukan seperti solat dan lain-lain kerana boleh menyihatkan seluruh anggota badan.

Begitu juga kaedah ibadah solat yang difardhukan kepada manusia mempunyai pelbagai hikmah. Antaranya boleh membuka dan mengembangkan saluran pembuluh darah agar berjalan lancar. Ia menjadikan seseorang individu yang sentiasa menunaikan solat, lebih-lebih lagi solat malam (tahajjud dan qiamullail) lebih tenaga dan kesihatan berbanding mereka yang tidak solat.

Kajian menyatakan, mereka yang sentiasa melazimi solat hanya 10% sahaja dikalangan mereka ditimpa penyakit, manakala mereka yang tidak solat risiko untuk ditimpa penyakit lebih besar iaitu 90%.[4]


2. TERAPEUTIKOLOGI    الطب العلاجي
(Perubatan Cara Perawatan)

Rasulullah s.a.w. ada bersabda :

يا عباد الله تداووا فإن الله لم ينزل داء إلا أنزل له دواء علمه من علمه وجهله من جهله إلا السام أي الموت

“Wahai hamba-hamba Allah kalian semua boleh diubati. Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak menurunkansesuatu penyakit kecuali menurunkan bagi penyakit tersebut penawarnya kecuali al-Saam iaitu mati”. (Hadis Riwayat Imam Nasaie dan Ibn Majah)

Dalam hadis lain baginda s.a.w.  ada menyatakan :

ما ملأ أدمي وعاء شرا من بطنه

“Tidaklah seorang anak Adam itu mengisi sesuatu tempat isian yang lebih buruk daripada perutnya”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Disebabkan itu maka akan lahirlah pelbagai penyakit buruk seperti ulser (luka dalam perut), arteriosclerosis (penyakit urat nadi), sirosis (penyakit hati yang disifatkan oleh matinya sel-sel hati), stress (ketegangan fizikal) dan sebagainya.[5]

Sebab itulah, Rasulullah s.a.w. memberikan beberapa cara bagi mengelak dan menyembuhkan penyakit. Antaranya adalah dengan melazimi meminum madu dan berbekam sebagai cara perubatan yang paling berkesan kerana madu adalah ubat segala penyakit.

Nabi s.a.w. pernah bersabda :

الشفاء في الثلاثة : شربة العسل وشرطة محجم وكية بالنار وأنهى أمتي عن الكي

“Penawar itu boleh didapati daripada tiga perkara : Meminum madu, berbekam dan selaran api. Aku melarang umatku daripada menggunakan selaran api".  (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Rasulullah s.a.w. sentiasa minum mencampurkan air dengan madu untuk menjaga kesihatan baginda. Mengikut eksperiman dan kajian perubatan moden, ia mampu menjaga kesuhatan badan daripada ditimpa typhoid (demam kepialu), desentri (cirit-birit), intestinal (penyakit usus), gastrik (ulser perut), influenza, selsema, membantu pencernaan dan lain-lain. [6]

Begitu juga berbekam dengan darah-darah kotor dikeluarkan. Ia mampu menjaga tubuh badan agar sentiasa segar dan tidak lesu kerana ianya membantu pengaliran darah dengan lancar.
Dalam hadis lain juga ada dinyatakan tentang Habbatus Sauda’ antara herba yang boleh dijadikan penawar. 

Sabda baginda s.a.w.:

عليكم بهذه الحبة السوداء فإن فيها شفاء من كل داء إلا السأم أي الموت

“Hendaklah kamu sentiasa memakan Habbatus Sauda’, kerana sesungguhnya pada (Habbatus Sauda) tersebut terdapat segala penawar kecuali al-Saam iaitu maut”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ini kerana, unsur-unsur yang terdapat dalam Habbatus Sauda’ mampu meningkatkan imunisasi dalam badan seseorang. Disana, sudah banyak kajian dan penelitian dikalangan para pengkaji bahawa Habbatus Sauda’ mampu menjadi penawar kepada penyakit Aids dan barah serta seumpamanya. 

Bahkan, dalam kajian dan keputusan yang didapati setelah diperhatikan bagi mereka yang meminum  1 gram daripada Habbatus Sauda’ 2 kali sehari maka kesannya amat positif untuk imunisasi badan dan mampu mengaktifkan sel-sel darah dalam badan.

Pelbagai lagi amalan yang biasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. antaranya bersiwak(bersugi). Ia dapat menjaga pernafasan yang busuk, menjaga gigi daripada mudak rosak dan rongak, serta bibir dan lidah akan sentiasa segar. Mengikut kajian, seseorang akan sentiasa bersikap positif dan mudah memahami sesuatu perkara dengan lebih cepat kerana otak dan kerasionalan berfikir mereka sentiasa segar apabila melazimi bersugi.


3. PSIKOTERAPI   الطب النفسي
(Perubatan Spiritual/Rohani)

Antara beberapa contoh yang diajarkan oleh baginda s.a.w. bagi mengubati penyakit rohani/penyakit hati yang ada dalam diri manusia disebabkan oleh emosi yang tidak terkawal, antaranya[7] :

1. Bersikap rasional dan tidak melampaui batas dalam sesuatu kelakuan dan amalan الإعتدال وعدم الإسراف

Tindakan yang berlebih-lebihan dalam sesuatu urusan keduniaan menyebabkan seseorang akan dihantui oleh kebimbangan, keresahan, kebingungan, kekacauan dan pelbagai lagi. Akhirnya kehidupan sehari-hari akan menjadi musuh utama dirinya untuk sentiasa mendapatkan lebih daripada orang lain.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

كلوا واشربوا وتصدقوا والبسوا في غير إسراف ولا مخيلة  

“Makanlah, minumlah, bersedekahlah, berpakaianlah tanpa melampaui batasan (yang dilarang agama) dan janganlah menjadi orang yang sombong”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

2. Bersikap lembut dan bertolak ansur الرفق

Lemah lembut dicirikan sebagai seorang yang tahu adab-adab dan akhlak dalam sepergaulannya dengan masyarakat, apatah lagi akhlak dan adab-adab inilah yang sentiasa diajarkan oleh baginda s.a.w. supaya diri seseorang itu mudah didekati dan hatinya akan menjadi tenang dan sentiasa gembira.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

إن الرفق لا يكون في شيء إلا زانه

“Sesungguhnya bersikap lembut itu tidak akan menjadikan mereka itu melainkan pasti akan menghiasi dirinya(kebaikan)”. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

3. Menegah daripada sentiasa marah النهي عن الغضب

Apabila dilihat dan diteliti tentang penyaki-penyakit hati dan gangguan emosi dikalangan manusia datang daripada sikap mereka yang sering marah, menengking dan mudah merungut. Apabila seseorang tidak mampu mngawal marahnya maka emosinya akan bertambah membuak-buak untuk melakukan pelbagai reaksi yang dilarang oleh agama.

Sebab itu Nabi s.a.w. ada bersabda dan memperingatinya umatnya sehingga mengulangkannya sebanyak tiga kali berturut-turut:

أن رجلا قال للنبي (ص) : أوصيني, قال (ص) : لا تغضب فردد مرارا
 قال : لا تغضب

“Ada seorang lelaki pernah berkata kepada Nabi s.a.w. : Wasiatkanlah aku. Lalu baginda bersabda : Janganlah kamu marah dandiulang berkali-kali. Jangankamu marah”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

ما في جرعة أعظم أجرا عند الله من جرعة غيظ كظمها عبد ابتغاء وجه الله

“Tiada satu tegukan yang lebih besar pahala disisi Allah yang mengalahkan seteguk minuman peredam (menahan) kemarahannya semata-mata mengharap keredhaan Allah”.(Hadis Riwayat ibn Majah)

4. Sentiasa melazimi ketaatan kepada Allah (fardhu dan sunat) التزم بالطاعة

Ketaatan kepada Allah merupakan antara rahsia Allah taala. Antara hikmah sesuatu kefardhuan seperti solat, puasa, zakat, haji dan seumpamanya adalah untuk menjaga diri seseorang daripada tergelincir daripada perkara yang tidak sepatutnya. Apatah lagi jika mereka berusaha untuk menambahkan ibadah mereka kepada Allah dengan amalan-amalan sunat maka pasti Allah taala akan sentiasa menjaga keperibadian mereka sehari-hari dan dikasihi-Nya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

ما تقرب الي المتقربون بمثل أداء ما افترضت عليهم ولا يزال العبد يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

“Tiada satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah seumpama menunaikan apa yang telah Aku (Allah) fardhukan ketas mereka, dan akan sentiasalah seorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah Aku mengasihinya (mencintainya)”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Segera bertaubat kepada Allah diatas sesuatu dosa سريع التوبة على الذنوب  

Sesungguhnya, taubat sesorang hamba disisi Allah taala merupakan kesedaran dan penyesalannya yang lahir daripada lubuk hati. Kesedaran inilah yang mampu memperbaiki diri agar menjadi seorang hamba yang sentiasa melazimi ketaatan kepada-Nya dan disukai oleh Allah taala.

إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين

“Sesungguhnya Allah menyukai bagi mereka yang bertaubat dan membersihkan diri”.(Surah al-Baqarah : 222)

Nabi s.a.w. juga pernah bersabda :

فإن التائب من الذنب كمن لاذنب له

“Maka sesungguhnya mereka yang bertaubat daripada dosa sepertilah mereka yang tidak pernah melakukan dosa disisinya”. (Hadis Riwayat Imam Ibn Majah)

6. Sentiasa beristighfar   التزم بالإستغفار

Dengan memperbanyakkan istighfar kepada-Nya maka hati kita akan lembut. Istighfar merupakan ubat segala penyakit hati. Apabila dipuji, istighfar mampu mengembalikan pemilik hati tersebut dengan memandang sesuatu pujian dan kebaikan yang dilakukan itu daripada anugerah Allah taala. Begitu juga apabila dikeji, mereka akan sentiasa memandang dengan kelemahan dan kekurangan itu daripada dirinya lantas memohon ampun kepada Allah taala. Maka Allah taala akan bukakan baginya jalan penyelesaian tanpa diduga.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

 قال النبي (ص) : من لزم الإستغفار جعله الله له من كل هم مخرجا ومن كل ضيق فرجا ورزقه من حيث لايحتسب – حديث رواية أبو داود في سننه

“Sesiapa yang melazimi istighfar, Allah taala akan jadikan baginya bagi tiap-tiap kebimbangan jalan keluar, tiap-tiap kesempitan akan keluasan dan diberikannya rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka”. (Hadis Riwayat Imam Abu Daud)


KESIMPULAN

Semua penyakit yang dihadapi oleh manusia ada penawarnya. Mustahil sesuatu penyakit yang dimusibahkan kepada sesorang hamba Allah taala tidak diturunkan-Nya penawar dan cara perubatannya.

Firman Allah taala :

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين
 رؤوف رحيم

“Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kalangan kalian sendiri, berat terasa olehnya (Rasul) penderitaan yang kalian alami, dia (Rasul) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kalian, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman”. (Surah al-Taubah : 127)

Maka pengutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai “Pakar Perubatan” bertepatan untuk diambil panduan dan pedoman bagi mengubati segala penyakit dengan izin Allah taala melainkan satu penyakit sahaja yang tidak boleh diubati iaitu nyanyuk/tua.

Dalam satu hadis, Usamah bin Syarik telah berkata :

كنت عند البي (ص) وجاءت الأعراب فقالوا : يا رسول الله انتداوي؟ فقال : نعم يا عباد الله تداووا, فإن الله عز وجل لم يضع داء إلا وضع لها شفاء غير داء واحد قالوا : ما هو؟ قال : الهرم

“Aku bersama dengan Nabi s.a.w. lalu datanglah beberapa orang arab menanyakan : Wahai Rasulullah ! Adakah kami boleh diubati? Maka Baginda bersabda : Boleh wahai hamba-hamba Allah kalian semua boleh diubati. Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak meletakkan (menurunkan) sesuatu penyakit kecuali menyediakan bagi penyakit tersebut penawarnya melainkan satu penyakit. Lalu mereka bertanya : Apakah penyakit tersebut? Lalu baginda s.a.w. bersabda : Penyakit nyanyuk/tua.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dalam kitab Musnad)

Wallahu a’lam.

“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012

Masalah Obesiti






Makanan Seimbang dan Berkhasiat



Bahasa Arab - Hikam Wa Amthal



AL-HIKAM WAL  AMTHAL
KATA- KATA HIKMAH DAN BIDALAN BAHASA ARAB





Friday, 24 May 2013

pelayaran yang penuh peristiwa

kenali prosa tradisional warisan budaya

"mangkuk jorong pinggan pun jorong,
       si jorong berisi buah jati,
dua tiga kata terdorong,
       jangan di bawa masuk ke hati."

"Gunung Daik timang-timangan,
      tempat kera berulang alik,
budi yang baik kenang-kenangan
      budi yang jahat buang sekali."

"Asal ada sama ke padi
     pergi ke pantai menjual kapas
asal ada sama di hati
     gajah terantai boleh terlepas."

"Baik-baik mengail tenggiri,
     jangan kena jambatan larang,
baik-baik menghina diri
    jangan muka disapu arang."

"Pulau sembilan tinggal delapan,
    satu merajuk ke Kuala Kedah
sudah nasib permintaan badan
    kita di bawah kehendak Allah."

"Pulau Pandan jauh ke tengah
     sebalik pulau angsa dua
hancurlah badan dikandung tanah
     budi yang baik dikenang jua."

"Pulau Pinang bandarnya baru
      kapitan light menjadi raja
jangan dikenang zaman dahulu,
     duduk mengalir air mata."

Kuda di dalam lebuh
      air diharung hingga ke pinggang
mulut luka belum sembuh
      parutnya bila akan hilang."

"Asap api gulung gemulung
      anak buaya menelan bangkai
rasa hati memeluk gunung
      apa daya tangan tak sampai."

Selamat Hari Guru



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
            Biasa kita mendengar bahawa “Guru ini ibarat pelita yang menerangi kehidupan seorang manusia”. Ya ada benarnya, kerana tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Muallim, ustaz, Cikgu,teacher, sifu dan master, semua gelaran ini merujuk kepada satu jasad yang sama yakni bernama Guru. Definisi guru bagi saya adalah sesuatu atau seseorang yang membantu dan mendidik  individu dalam membawa mereka dari kegelapan kearah cahaya, dari kebatilan kepada kebijaksanaan, dan dari penderitaan kepada kebahagiaan.
            Guru bukan hanya menumpukan kepada satu jasad yakni mereka yang pernah mengajar kita ketika kita di alam kanak-kanak atau remaja dulu, guru juga adalah mereka yang telah mengenalkan kita akan hakikat kehidupan ini.
            Namun begitu, bukanlah kita menafikan kewujudan guru di sekolah dan universiti iaitu sosok-sosok tubuh yang tabah, sabar dan kuat dalam memberikan didikan dan bantuan untuk menjadikan manusia ini insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Pengorbanan mereka inilah yang menjadikan kita sosok tubuh yang hebat di mata dunia.
            Menurut kitaran hidup manusia tidak seorang pun dalam kalangan manusia yang membesar tanpa ditakdirkan untuk bertemu dengan sorang guru. Walaupun mereka ditakdirkan duduk berseorangan di dalam hutan, pasti akan ada guru yang mengajar mereka untuk mampu melalui dan meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
            Mari kita melihat peranan guru dari sisi pandangan yang berbeza, Guru yang teragung dalam kehidupan ini adalah Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Allah SWT yang telah mengajarkan Nabi Adam AS berkenaan beberapa nama benda yang langsung tidak diketahui oleh malaikat. Antara dalil yang menerangkan tentang Allah SWT sebagai GURU Nabi Allah Adam adalah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 31 hingga 33:
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”.
Malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.