Friday, 24 May 2013

Selamat Hari Guru



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
            Biasa kita mendengar bahawa “Guru ini ibarat pelita yang menerangi kehidupan seorang manusia”. Ya ada benarnya, kerana tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Muallim, ustaz, Cikgu,teacher, sifu dan master, semua gelaran ini merujuk kepada satu jasad yang sama yakni bernama Guru. Definisi guru bagi saya adalah sesuatu atau seseorang yang membantu dan mendidik  individu dalam membawa mereka dari kegelapan kearah cahaya, dari kebatilan kepada kebijaksanaan, dan dari penderitaan kepada kebahagiaan.
            Guru bukan hanya menumpukan kepada satu jasad yakni mereka yang pernah mengajar kita ketika kita di alam kanak-kanak atau remaja dulu, guru juga adalah mereka yang telah mengenalkan kita akan hakikat kehidupan ini.
            Namun begitu, bukanlah kita menafikan kewujudan guru di sekolah dan universiti iaitu sosok-sosok tubuh yang tabah, sabar dan kuat dalam memberikan didikan dan bantuan untuk menjadikan manusia ini insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Pengorbanan mereka inilah yang menjadikan kita sosok tubuh yang hebat di mata dunia.
            Menurut kitaran hidup manusia tidak seorang pun dalam kalangan manusia yang membesar tanpa ditakdirkan untuk bertemu dengan sorang guru. Walaupun mereka ditakdirkan duduk berseorangan di dalam hutan, pasti akan ada guru yang mengajar mereka untuk mampu melalui dan meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
            Mari kita melihat peranan guru dari sisi pandangan yang berbeza, Guru yang teragung dalam kehidupan ini adalah Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Allah SWT yang telah mengajarkan Nabi Adam AS berkenaan beberapa nama benda yang langsung tidak diketahui oleh malaikat. Antara dalil yang menerangkan tentang Allah SWT sebagai GURU Nabi Allah Adam adalah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 31 hingga 33:
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”.
Malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

3 comments: